Friday, October 16, 2009

Jin,Syaitan 'n' Iblis...


BERIMAN KEPADA YANG GHAIB
Beriman kepada yang ghaib adalah termasuk salah satu asas daripada ‘akidah Islam, bahkan ianya merupakan sifat yang pertama dan utama yang dimiliki oleh Allah S.W.T. Justeru, bagi setiap orang Muslim, mereka wajib beriman kepada yang ghaib, tanpa sedikit pun ada rasa ragu. Dalam perkara ini Ibn Mas'ud mengatakan:”Yang dimaksudkan dengan yang ghaib itu ialah segala apa saja yang ghaib daripada kita dan perkara itu diberitahu oleh Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga jin. Jin termasuk makhluk ghaib yang wajib kita imani, kerana banyak ayat-ayat Al-Qur'an dan Hadis Nabi yang menerangkan tentang kewujudannya.
Walaupun jin itu tidak dapat dilihat, maka bukanlah bererti ia tidak ada. Sebab berapa banyaknya sesuatu yang tidak dapat kita lihat di dunia ini, akan tetapi benda itu ada. Angin misalnya, kita tidak dapat melihatnya, tetapi hembusannya dapat kita rasakan. Begitu juga roh yang merupakan hakikat daripada kehidupan kita, kita tidak dapat melihatnya serta tidak dapat mengetahui tentang hakikatnya akan tetapi kita tetap meyakini kewujudannya.
APAKAH ITU JIN?
Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya adalah Jiniy ( dalam bahasa arab dahulu kala, dan Genie dalam bahasa Inggeris ) yang ertinya "yang tersembunyi" atau "yang tertutup" atau "yang tak terlihat". Hal itulah yang memungkinkan kita mengaitkannya dengan sifat yang umum "alam tersembunyi", sekalipun akidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk berakal, berkehendak, sedar dan punya kewajipan, berjasad halus and hidup bersama-sama kita di bumi ini. Dalam sebuah hadith dari Abu Tha'labah yang bermaksud : "Jin itu ada tiga jenis iaitu : Jenis yang mempunyai sayap dan terbang di udara, Jenis ular dan jengking dan Jenis yang menetap dan berpindah-pindah."
AWAL PENCIPTAAN JIN
Allah S.W.T. menciptakan jin sebelum menciptakan manusia, dengan selisih waktu yang lama bila dikiaskan pada manusia mahupun jin sendiri. Allah S.W.T. berfirman ( maksudnya ) : "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering ( yang berasal ) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin, sebelum itu dari api yang sangat panas. ( Surah Al-Hijr: 26-27 ).
BAGAIMANA JIN DAN SYAITAN HIDUP
Jin adalah makhluk yang sangat banyak sekali penduduknya, boleh dikatakan sama bilangan penduduk bumi sebanyak 5 bilion. Jarang ada suatu tempat di bumi ini yang tidak diduduki oleh jin, baik di daratan, lautan mahupun udara. Dunia mereka seperti dunia kita : Ada negara, kerajaan, berbagai bangsa & kabilah, penguasa dan rakyat jerata. Agama mereka pun tidak berbeza dengan agama manusia. Diantara mereka, alhamdulillah, ada yang Muslim dan memperoleh hidayah dari Allah S.W.T. Yang lain, beragama Masehi, Hindu, Buddha, penyembah berhala dan penganut ajaran komunis.
TEMPAT TINGGAL JIN
Makhluk jin lebih mengutamakan untuk tinggal di tempat-tempat yang sunyi dan sepi daripada manusia seperti di padang pasir. Ada yang tinggal di tempat-tempat kotor seperti di tempat pembuangan sampah kerana mereka memakan makanan lebihan manusia.
Ada juga mereka yang tinggal bersama manusia iaitu di dalam rumah. Abu Bakar bin Ubaid meriwayatkan: "Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya, setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah."
Jin juga menjadikan tandas sebagai tempat tinggalnya. Rasullullah s.a.w. telah bersabda: "Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada didatangi jin, kerana itu bila salah seorang kamu pergi ke tandas maka hendaklah ia mengucapkan doa: " Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada jin lelaki dan perempuan" (HR. Abu Dawud)
Jin juga sangat suka tinggal di lubang-lubang. Oleh sebab itu dalam sebuah hadis dijelaskan yang maksudnya: "Janganlah kamu kencing dilubang."
(HR. An-Nas'i)
KERAJAAN IBLIS
Iblis mempunyai kerajaan yang sangat besar. Ada menteri-menteri, pemerintahan dan pejabat-pejabat. Iblis juga mempunyai wakil-wakil, lima di antaranya wajib diwaspadai :
• Yang pertama, menurut kalangan Jin, bernama
Tsabar. Dia selalu mendatangi orang yang sedang kesusahan atau ditimpa musibah, baik kematian isteri, anak ataupun kaum kerabat. Kemudian dia melancarkan bisikannya dan menyatakan permusuhannya kepada Allah. Diucapkannya, melalui mulut orang yang ditimpa musibah itu, keluh-kesah dan caci-maki terhadap ketentuan Allah atas dirinya.
• Yang kedua, namanya ialah Dasim. Syaitan inilah yang selalu berusaha dengan sekuat tenaganya untuk mencerai-beraikan ikatan perkahwinan, membuat rasa benci antara satu sama lain dalam kalangan suami-isteri, sehingga menjadi penceraian. Dia adalah anak kesayangan Iblis di wilayah kerajaannya yang sangat besar.
• Yang ketiga, namanya ialah
Al-A'war. Dia dan seluruh penghuni kerajaannya adalah pakar dalam urusan mempermudah terjadinya perzinaan. Anak-anaknya menghiaskan indah bahagian bawah tubuh kaum wanita ketika mereka keluar rumah, khususnya kaum wanita masa kini, betul-betul menggembirakan Iblis di kerajaan yang besar. Segala persoalan yang menyangkut keruntuhan moral dan perzinaan berurusan dengan pejabat besar mereka.
• Yang keempat, namanya ialah
Maswath. pakar dalam menciptakan kebohongan-kebohongan besar mahupun kecil. Bahkan kejahatan yang dia dan anak-anaknya lakukan sampai pada tingkat dia memperlihatkan diri dalam bentuk seseorang yang duduk dalam suatu pertemuan yang disenggarakan oleh manusia, lalu menyebarkan kebohongan yang pada gilirannya disebarkan pula oleh manusia.
• Yang kelima, namanya ialah
Zalnabur.
Syaitan yang satu ini berkeliaran di pasar-pasar di seluruh penjuru dunia. Merekalah yang menyebabkan pertengkaran, caci-maki, perselisihan dan bunuh-membunuh sesama manusia.
Menurut buku Asy-Syibli meriwayatkan sebuah riwayat dari Zaid bin Mujahid yang mengatakan bahawa, "Iblis mempunyai lima anak, yang masing-masing diserahkan urusan-urusan tertentu. Kemudian dia memberi nama masing-masing anaknya : "Tsabar, Dasim, Al-A'war, Maswath dan Zalnabur."

Friday, October 9, 2009

Dosa Mengumpat ! ! !


Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.Rasulullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud:"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila
menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama
pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.Memandangkan
betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging
saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia,
inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja
besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun
pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:”Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya."Dan
sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya
sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya
dan Ibnu Hibbad).

Disebabkan mengumpat terlalu biasa
dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.
Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.Mengumpat dan
mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya
diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas
perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.Sabda
Rasulullah S.A.W.:"wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum
beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan
janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang
mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada
rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan
pahala.Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu yang kering".Pahala
yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti
mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili,
"Diakhirat seorang terkejut besar apabila
melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia.
Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya
kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya".Maka Allah menjawab :"Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat kepada engkau tanpa engkau ketahui".Sebaliknya,
jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada
orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan
kepada orang yang mengumpat"
. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat
nanti.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib
berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyakkanlah zikrullah (ingat kepada Allah) supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Kisah Luqman Al-Hakim...


Dalam sebuah riwayat diceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, sesetengah orang pun berkata, “Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu pula. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya enak-enak menaiki himar itu, sungguh kurang ajar anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksa himar itu."
Oleh sebab tidak suka mendengar perkataan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dinaiki."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam setiap sesuatu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Saturday, September 26, 2009

Antara Sabar Dan Mengeluh


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abu Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Pada waktu tawaf tiba-tiba dia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri-seri pada wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abu Hassan lalu dia bertanya, "Apakah katamu wahai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang besar berkata kepada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan kepadamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku meletakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena pada badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin yang tinggal di daerah lain, maka dia jatuh pengsan sehingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abu Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahiriah, maka hal itu baik dan terpuji. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap musibah dan dugaan daripada Allah. Hal itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasaihnya daripada ahli dunia kemudian dia bersabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Allah yang sabar dalam menghadapi segala musibah...AMIN...

Friday, September 25, 2009

Teman Sejati


Selama ini
Kumencari-cari
Teman yang sejati
Buat menemani
Perjuangan suci

Bersyukur kini
PadaMu Illahi
Teman yang dicari
Selama ini
Telah kutemui

Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi

KepadaMu Allah
Kupanjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita

Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah kuungkapkan
Segala-galanya...

KepadaMu Allah
Kupohon restu
Agar kita kekal bersatu

Kepadamu teman
Teruskan perjuangan
Pengorbanan dan kesetiaan
Telah kuungkapkan
Segala-galanya

Itulah tandanya
Kejujuran kita

Thursday, September 24, 2009

Doa Jihad


Wahai Tuhan kami Engkau keselamatan, dan daripadaMu jua keselamatan, Engkau Maha suci Tuhan kami dan Maha Tinggi, wahai Tuhan yang mempunyai Kebesaran dan kemuliaan. Kami dengar dan kami taat,ampunkan kami wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jua kesudahan kami, Wahai Tuhan tolonglah tentera-tentera Islam, dan askar-askar yang mengesakan Tuhan, dan binasakanlah orang-orang kafir, orang-orang degil, pembawa-pembawa bidaah, dan orang-orang yang mempersekutukanMu, dan hancurkanlah musuh-musuhMu, musuh-musuh agama Islam.Dan tolonglah kami terhadap mereka Wahai Tuhan sekalian alam.Wahai Tuhan pecahkanlah kumpulan mereka, dan bubarkan himpunan mereka, dan kurangkan bilangan mereka, dan goncangkan kaki-kaki mereka, dan turunkanlah seksa yang pedih ke atas mereka.Dengan RahmatMu Tuhan sekalian alam, Wahai Tuhan kami ampunkan kami terhadap dosa-dosa kami dan matikan kami sebagai islam dan moga2 Allah sejahterakan Penghulu kami Muhammad dan keluarganya dan sahabat2nya sekalian.Maha suci Tuhan kami, Tuhan Yang Mulia dari sebarang sifat kekurangan dan salam keatas sekalian rasul dan pujian sebenar adalah bagi Allah Tuhan sekalian Alam

Wednesday, September 23, 2009

Fatimah Az-Zahra


Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah S.A.W. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul S.A.W. selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r.a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah S.A.W. tersimpan perasaan kasih sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami sehingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Ustman Ibnu Affan, begitulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah S.A.W. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu." Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?" Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah S.A.W. menghentikannya.

Berkata Rasulullah S.A.W. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun aku memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah. Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah S.A.W. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, ’Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa daripada Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya

Buat renungan semua:
• Orang yang berfikiran besar banyak memperkatakan ilmu,
• Orang yang berfikiran sederhana banyak memperkatakan peristiwa,
• Orang yang berfikiran rendah banyak memperkatakan manusia,
• Orang yang berfikiran cetek banyak memperkatakan diri mereka

Nabi SAW bersabda, ada 4 perkara yang dipandang baik, tetapi 4 lagi dipandang lebih baik :

1. Sifat malu daripada lelaki adalah baik, tetapi daripada perempuan adalah lebih baik,

2. Keadilan daripada setiap orang adalah baik, tetapi daripada pemimpin adalah lebih baik,

3. Taubat daripada orang tua adalah baik, tetapi daripada orang muda adalah lebih baik,

4. Kedermawan daripada orang kaya adalah baik, tetapi daripada orang fakir adalah lebih baik.