Thursday, December 30, 2010

LUQMAN AL-HAKIM


Dalam sebuah riwayat menceritakan...

Pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menunggang seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang pun berkata, "Lihat itu orang tua yang
tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun daripada
himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat perkara demikian, maka
orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya
menunggang himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu
bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua
orang menunggang seekor himar, adalah sungguh menyeksakan himar itu."

Oleh sebab tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak ditunggangi."

Dalam perjalanan mereka kedua-dua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah
menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya
tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah
dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa
mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah
rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu
melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang
agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan
hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-
orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

No comments:

Post a Comment